Soalan Lazim   
|   Hubungi Kami   
 |  Aduan / Maklum Balas    
Peta Laman   

 

PEMUKIMAN PEMERKASAAN PENGURUSAN ADUAN AWAM 2020

Pemukiman Pemerkasaan Pengurusan Aduan Awam 2020 telah diadakan di Aras 3, Blok B1, Jabatan Perdana Menteri dari 13 hingga 17 Januari 2020.
Objektif pemukiman bertujuan untuk memantapkan aspek penyiasatan kes aduan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan sebagai persediaan ke arah penubuhan Ombudsman Malaysia.
Seramai 35 peserta yang terdiri dari pegawai BPA Ibu Pejabat dan negeri hadir pada sesi pemukiman ini.

SESI LIBAT URUS BERSAMA PIHAK BERKEPENTINGAN MENGENAI PENUBUHAN OMBUDSMAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 25 November 2019 – Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi membincangkan mengenai penubuhan Ombudsman Malaysia diadakan di Parlimen Malaysia.

Sesi libat urus ini dipengerusikan oleh YB Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang). Pada sesi ini, YBhg Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam membentangkan cadangan dasar dan inti pati penubuhan Ombudsman Malaysia.

Sebanyak 15 entiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang terdiri dari wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia,Lawyers for Liberty, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Amnesty International Malaysia, Centre to Combat Corruption & Cronyism (C-4), Transparency International dan Prof. Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia menghadiri sesi tersebut. Para jemputan yang hadir telah memberikan pandangan dan ulasan mengenai cadangan dasar penubuhan Ombudsman Malaysia.

LAWATAN PENANDAARASAN BPA BERSAMA MPSJ

SUBANG JAYA, 22 Oktober 2019 - Lawatan Penandaarasan Biro Pengaduan Awam (BPA) ke atas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diadakan di Aras 2, MPSJ.
Sesi lawatan bertujuan berkongsi maklumat berhubung Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pengurusan MPSJ (Irespoz) di samping melihat contoh-contoh amalan terbaik pengurusan aduan.
Lawatan diketuai oleh Encik Mohamed Faizal bin Buang, Pengarah, Bahagian Pengurusan Aduan BPA dan turut disertai pegawai-pegawai BPA Ibu Pejabat dan BPA Selangor.

MESYUARAT PENYELARASAN ADUAN KESESAKAN DI JALAN BRINCHANG-TANAH RATA CAMERON HIGHLANDS

CAMERON HIGHLANDS, 16 Oktober 2019 - Mesyuarat Penyelarasan Aduan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) Pahang mengenai Isu Kesesakan (Traffic Jam) di Jalan Brinchang-Tanah Rata diadakan di Bilik Mesyuarat, Majlis Daerah Cameron Highlands, Pahang.


Mesyuarat dipengerusikan oleh Encik Mohd Fadzlee bin Mat Yassin, Pengarah BPA Pahang yang melibatkan jabatan/agensi dari Majlis Daerah Cameron Highlands, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah.


Isu yang dibincangkan berkaitan aduan pengadu mengenai kesesakan jalan di Jalan Brinchang-Tanah Rata terutamanya pada hujung minggu. Antara penyelesaian jangka pendek IPD Cameron Highlands telah menempatkan anggota polis trafik untuk bertugas di sepanjang laluan tersebut bagi mengawal aliran trafik. Sebagai penyelesaian jangka panjang, pembinaan jalan pintasan Cameron dan tempat kereta bertingkat akan dilaksanakan.

 

 

 

SEMINAR PENGURUSAN ADUAN AWAM TAHUN 2019

PUTRAJAYA, 12 Disember 2019- Seminar Pengurusan Aduan Awam bagi tahun 2019 anjuran Biro Pengaduan Awam (BPA) diadakan di Auditorium Perdana, Jabatan Perdana Menteri.

Penganjuran seminar yang berlangsung selama sehari bertujuan memperkasa pengurusan aduan, memaklumkan perkara-perkara terkini dan penyelesaian aduan berkualiti. Taklimat dan perkongsian kepada para peserta disampaikan oleh YBhg Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah BPA.

Seramai 182 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perhubungan Awam, Pegawai Penyelaras Aduan dari pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan dan SUK Negeri menghadiri seminar ini.

MESYUARAT PENUTUP AUDIT BAHASA MELAYU

PUTRAJAYA, 23 Oktober 2019 - Mesyuarat Penutup Audit Bahasa Melayu diadakan di Blok B1, Aras 6, Jabatan Perdana Menteri.Sesi pengauditan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) bermula dari 21 Oktober hingga 23 Oktober 2019 yang meliputi beberapa bahagian dan unit di Biro Pengaduan Awam (BPA).
Tujuan pengauditan untuk meneliti tahap penggunaan Bahasa Melayu, mutu Bahasa Melayu yang digunakan dalam dokumen rasmi, memberi ulasan dan cadangan untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Selain itu pengauditan juga mencadangkan program tindakan peluasan dan pemantapan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Mesyuarat dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah, BPA dan dihadiri oleh pegawai audit DBP dan pegawai BPA Ibu Pejabat.

TAKLIMAT PERLUASAN SISTEM PENGURUSAN ADUAN AWAM DI NEGERI PAHANG

KUANTAN, 22 Oktober 2019 - Taklimat Perluasan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kepada Jabatan Negeri dan Badan Berkanun Negeri Pahang Darul Makmur telah diadakan di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan.


Sesi taklimat disampaikan oleh YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah, Biro Pengaduan Awam (BPA). Taklimat dipengerusikan oleh YH. Dato Mohd Zakaria bin Ibrahim, Timbalan SUK Pahang (Pengurusan).


Seramai 15 wakil Jabatan Negeri dan 16 wakil Badan Berkanun Negeri telah hadir. Tujuan taklimat untuk memperkenalkan (SISPAA) kepada semua jabatan negeri dan badan berkanun negeri.

PELAKSANAAN TEMPOH PERCUBAAN PERKHIDMATAN (PUTRAJAYA CAMPUS NETWORK) PCN WIFI BERSAMA WARGA BPA

PUTRAJAYA, 16 Oktober 2019 - Pelaksanaan Tempoh Percubaan Perkhidmatan (Putrajaya Campus Network) PCN Wifi dan Kaunter Informasi PCN Wifi oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Government Integrated Telecommunications Network (GITN) diadakan di Biro Pengaduan Awam (BPA) Aras 6, Blok B1, Jabatan Perdana Menteri.
Sesi percubaan bertujuan memastikan perkhidmatan PCN Wifi berfungsi dengan baik dan dapat digunakan oleh pengguna di agensi kerajaan. Sesi percubaan disertai warga BPA Putrajaya dengan membawa bersama peranti mudah alih telefon pintar seperti iPad, tablet dan komputer riba untuk dilaksanakan konfigurasi serta pengaktifan di kaunter perkhidmatan PCN WIFI.

HUBUNGI KAMI

BIRO PENGADUAN AWAM

Jabatan Perdana Menteri
Aras 2 dan 3
Blok F10, Kompleks F
Lebuh Perdana Timur, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya

Tel: 603 8000 8000

 IMBAS / MUAT TURUN

     
 
Web Mobil   Respons Rakyat