Sorotan Lensa
TURUN PADANG KETUA PENGARAH BPA DI NEGERI TERENGGANU
Lawatan kerja ke Negeri Terengganu oleh Datuk Akbar bin Haji Samon, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM) diteruskan dengan aktiviti turun padang bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi meninjau aduan berkaitan pengurusan tempat pembuangan sampah di Taman Permint Perdana, Kuala Nerus.
Lawatan ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pengurusan kebersihan dan sisa pepejal demi memastikan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan teratur untuk penduduk setempat. Hasil perbincangan di lapangan, pihak MBKT komited melaksanakan tindakan segera termasuk pembersihan menyeluruh kawasan terjejas, penambahbaikan sistem kutipan sampah, pemantauan berkala serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pengurusan sisa dilaksanakan secara lebih efisien dan mampan.
Pendekatan turun padang ini mencerminkan kesungguhan BPA dan pihak berkuasa tempatan dalam mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap aduan rakyat ditangani secara proaktif demi kesejahteraan komuniti. Turut hadir pada lawatan itu ialah Puan Norihah binti Abdullah, Pengarah BPA Negeri Terengganu & Kelantan, para pegawai BPA serta wakil penduduk di kawasan tersebut.
