Sorotan Lensa
TURUN PADANG KETUA PENGARAH BPA DI NEGERI KELANTAN
Sempena Lawatan Kerja Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA JPM), Datuk Akbar bin Haji Samon ke Negeri Kelantan, sesi Turun Padang (TUPA) telah dilaksanakan di sekitar Kota Bharu bagi meninjau secara langsung beberapa aduan rakyat yang diterima.
Antara isu yang diberi perhatian melibatkan masalah sistem saliran yang menyebabkan takungan air di kawasan perumahan serta isu tanah mendap yang berpotensi membahayakan pengguna jalan raya. Lawatan ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bagi memastikan tindakan susulan dan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Encik Mohamad Bin Othman, Setiausaha MPKB, Puan Norihah binti Abdullah, Pengarah BPA Negeri Terengganu dan Kelantan serta pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan yang terlibat.
Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen BPA dalam memastikan setiap aduan rakyat bukan sahaja didengar, malah dipantau sehingga tindakan sewajarnya diambil demi kesejahteraan masyarakat.
