Accessibility Tools

Sorotan Lensa 

MEMPERKASA KOMUNIKASI DIGITAL BPA MELALUI KURSUS SUNTINGAN VIDEO CAPCUT 2026


 

Kursus Penyuntingan Video Menggunakan Aplikasi CapCut 2026 menjadi langkah proaktif dalam memperkasa kemahiran komunikasi digital warga Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM). Seramai 40 orang peserta dari BPA Ibu Pejabat dan Negeri terlibat dalam kursus selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Januari 2026 yang berlangsung di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi, Pahang. Inisiatif ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut penyampaian maklumat perkhidmatan awam yang lebih visual, ringkas dan mudah difahami rakyat.

 

Ketua Pengarah BPA, Datuk Akbar bin Haji Samon menegaskan bahawa kursus ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu langkah strategik organisasi: “ Gunakan Kemahiran ini bagi menghasilkan kandungan video yang ringkas, tepat, berfakta dan mudah difahami oleh rakyat.”

 

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan imej korporat, integriti mesej serta penggunaan bahasa yang mesra rakyat dalam setiap penyampaian komunikasi.

 

Diharapkan kemahiran yang diperolehi oleh tenaga pengajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam tugasan sebenar serta dikongsi bersama rakan sekerja agar memberi impak menyeluruh kepada organisasi. Kursus ini diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan kandungan komunikasi BPA yang lebih segar, inovatif dan mesra rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta reformasi perkhidmatan awam.