Accessibility Tools

Sorotan Lensa 

KAUNTER ADUAN BERGERAK BPA SABAH KE KG. SINUA SOOK, KENINGAU


 

17 Januari 2026 | Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM) Negeri Sabah telah menyertai Program Mobile Community Services anjuran Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dengan membuka Kaunter Aduan Bergerak (KAB) di Kampung Sinua, Sook. Program ini merupakan inisiatif proaktif bagi mendekati masyarakat setempat serta memperkukuh saluran komunikasi antara orang awam dan agensi kerajaan.

 

Kampung Sinua, Sook merupakan pintu masuk utama ke pendakian Gunung Trusmadi, gunung kedua tertinggi di Malaysia. Lokasi ini terletak kira-kira 200 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu dengan tempoh perjalanan sekitar empat (4) jam. BPA Negeri Sabah, bersama lebih daripada 40 agensi kerajaan lain, telah turun padang bagi menyantuni penduduk setempat. Melalui KAB ini, BPA dapat memberi pendedahan serta panduan kepada orang awam mengenai kaedah penyaluran aduan dan maklum balas secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

 

Sepanjang pelaksanaan program, BPA Sabah turut menerima pelbagai maklum balas serta perkongsian pengalaman daripada orang awam dan wakil agensi berkaitan pengurusan aduan awam. Program ini telah menarik kehadiran kira-kira 300 orang pengunjung yang berjaya diberikan pendedahan mengenai peranan dan fungsi BPA.