Sorotan Lensa
BPA MILIK KITA, AMANAH UNTUK RAKYAT
Majlis Amanat Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM) Bilangan 1 Tahun 2026 telah berlangsung pada 28 Januari 2026 (Rabu) di Dewan Damar Sari 3, Kompleks F, Putrajaya.
Dalam amanatnya, Ketua Pengarah BPA, Datuk Akbar bin Haji Samon mengingatkan bahawa Biro Pengaduan Awam adalah institusi yang dibina dan dipelihara bersama, justeru menjadi tanggungjawab setiap warga BPA untuk menjaga nama baik, imej dan maruah jabatan dengan penuh amanah, profesionalisme dan komitmen sepenuh jiwa raga.
Ketua Pengarah turut menegaskan komitmen berterusan BPA dalam memastikan aduan rakyat diselesaikan dalam tempoh 15 hari bagi aduan yang tidak kompleks, manakala aduan yang bersifat kompleks diusahakan untuk diselesaikan dalam tempoh 90 hari melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). Usaha ini selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta Reformasi Karenah Birokrasi.
Bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi, setiap Pejabat BPA Negeri digalakkan meneruskan program jerayawara di seluruh zon negara serta mempergiat promosi Aplikasi Respons Rakyat bagi memudahkan proses aduan secara langsung dan sistematik. BPA juga berhasrat menjadi fokus poin dan rujukan utama pengurusan aduan awam, termasuk dalam aspek latihan dan perkongsian kepakaran kepada agensi-agensi lain.
Sempena Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari 2026, majlis perhimpunan ini turut diserikan dengan tayangan video sketsa dan persembahan warga BPA bertemakan 'Wilayah Persekutuan Kita', sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan berpasukan dalam menjayakan agenda perkhidmatan awam yang berintegriti dan berjiwa rakyat
