Accessibility Tools

Sorotan Lensa 

PENGURUSAN ADUAN AWAM CEMERLANG DIIKTIRAF: MAJLIS APRESIASI PENARAFAN PENGURUSAN ADUAN AWAM KEMENTERIAN TAHUN 2025 DISEMPURNAKAN KETUA SETIAUSAHA NEGERA

 

30 September 2025 (Selasa) | Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara di Dewan Damar Sari 3, Kompleks F, Putrajaya.

 

Majlis apresiasi ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada semua kementerian dalam mengurus aduan awam secara berkesan. Selain itu, penarafan ini juga dilaksanakan bagi menilai tatacara serta prestasi pengurusan aduan oleh setiap kementerian, di samping mencadangkan penarafan terbaik dalam kalangan 28 kementerian berdasarkan kriteria dan kaedah pemarkahan yang ditetapkan oleh Biro Pengaduan Awam.

 

Sebanyak 21 Kementerian telah menerima Penarafan Platinum manakala tujuh (7) Kementerian telah menerima Penarafan Emas. Menerusi perbandingan penilaian markah pada tahun 2023 dan 2025, terdapat peningkatan dan penambahbaikan dalam prestasi pengurusan aduan di kesemua Kementerian. Kebanyakannya telah mematuhi, menambah baik dan melaksanakan setiap teguran dan cadangan oleh pasukan naziran.

 

Majlis Peluncuran Kamus Kategori Aduan Biro Pengaduan Awam turut diadakan bagi memperkenalkan panduan pengkategorian aduan kepada semua kementerian. Kamus ini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu penyampaian perkhidmatan dan penguatkuasaan, serta merupakan hasil kerjasama antara Kementerian, Pentadbiran Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

.

.