Accessibility Tools

Sorotan Lensa 

PROGRAM TURUN PADANG KETUA PENGARAH BIRO PENGADUAN AWAM,

JABATAN PERDANA MENTERI DI NEGERI SELANGOR



15 Januari 2025 (Rabu) | Program Turun Padang (TuPa) di Negeri Selangor telah diadakan oleh YBhg. Datuk Akbar bin Haji Samon, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM) bersama Pengarah BPA Selangor dan wakil daripada BPA Ibu Pejabat bagi melihat status aduan yang melibatkan keadaan kerosakan jalan yang berulang di Jalan Kampung Lombong, Batu 7, Shah Alam.

Sesi perbincangan turut diadakan bersama agensi terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Klang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, wakil syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn. Bhd. (Infrasel) serta Ketua Kampung Lombong dan Kampung Sepakat Jaya, Shah Alam bagi mengetahui punca kerosakan berulang jalan tersebut, status pembaikan jalan dan seterusnya langkah penyelesaian bagi kes aduan tersebut.

Antara isu yang dikemukakan adalah kualiti pembaikan jalan yang dilaksanakan oleh pihak JKR dan kerosakan jalan yang berulang kerana kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had penggunaan jalan berkenaan, sering menggunakan jalan tersebut. Pihak JKR Daerah Klang telah mengambil inisiatif dengan melantik kontraktor baharu bagi membaikpulih permukaan jalan yang telah rosak dan telah memasukkan perancangan kerja-kerja penyenggaraan jalan tersebut di Bawah Kontrak Jangka Panjang Penyenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor Darul Ehsan bermula pada 13 Januari 2025. Pihak JPJ Negeri Selangor akan menjalankan operasi penguatkuasaan berkala bagi memantau penggunaan jalan oleh kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had ini.