KUALA KANGSAR, 1 April 2014 – Biro Pengaduan Awam Negeri Perak telah menganjurkan Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) bertempat di Arena Square Kuala Kangsar mulai jam 8.00 pagi hingga 1.30 petang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Kangsar. Program ini bertujuan memberikan ruang kepada pengunjung yang hadir untuk berinteraksi secara bersemuka dengan wakil-wakil jabatan yang mengambil bahagian dalam program berkenaan. KABB juga bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat aduan terus kepada jabatan/ agensi yang membuka kaunter dan membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peranan dan perkhidmatan yang disediakan jabatan/ agensi tersebut.
Perasmian program pada kali ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Anis Rizana binti Mohd.Zainudin, Timbalan Ketua Pengarah (Aduan) Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri Putera Jaya. Seramai 150 orang petugas yang mewakili 35 jabatan/agensi kerajaan telah hadir untuk menjalankan tugas di Program berkenaan dengan membuka kaunter aduan dan pameran.
Program KABB ini telah berjaya menarik perhatian lebih kurang 240 orang pengunjung yang terdiri daripada wakil-wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan serta orang awam. Sebanyak 20 kes Aduan/bukan aduan telah direkodkan dari orang awam termasuk 2 kes Khidmat Nasihat. Petugas kaunter juga dilihat telah menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program berkenaan. Beberapa program sampingan turut diadakan bertujuan untuk menarik perhatian pengunjung seperti acara pertandingan mewarna oleh kanak-kanak TADIKA telah diadakan dimana seramai 30 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan tersebut.
Aktiviti yang sering mendapat perhatian pengunjung juga Kempen Derma Darah oleh Unit Tabung Darah Hospital Kuala Kangsar, Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dan pertandingan teka berat telur burung ostrich. Hadiah kepada pemenang teka berat berkenaan telah ditaja oleh penganjur pertandingan iaitu Jabatan Veterinar Kuala Kangsar, manakala hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Berusaha Puan Anis Rizana binti Mohd. Zainudin, Timbalan Ketua Pengarah BPA sebagai Perasmi Program berkenaan.
BPA Negeri Perak mengucapkan ribuan terima kasih kepada jabatan/ agensi yang telah mengambil bahagian terutamanya Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Jabatan Kerja Raya Kuala kangsar, Pejabat Penerangan daerah Kuala Kangsar, Pejabat Agama Islam daerah Kuala Kangsar dan lain-lain jabatan serta agensi di peringkat daerah yang telah bersama-sama turut menjayakan program pada kali ini. Setinggi-timggi penghargaan juga dikhususkan kepada perasmi majlis, iaitu Yang Berusaha Puan Anis Rizana binti Mohd. Zainudin yang telah sudi meluangkan masa menyempurnakan upcara perasmian dan beramah mesra dengan petugas kaunter dan pengunjung yang hadir ke program ini.